
M O T I V A S I
M - menilai dan merancang
O – olah semula pemikiran
T – tingkatkan keyakinan
I – inginkan kejayaan
V – visi yang mantap
A – ambil teladan
S – sedia berkorban
I – impian pasti tercapai !!!
Motivasi sangat penting dalam diri seseorang individu. Tanpa motivasi tiadalah semangat untuk kita berjaya. Pemikiran atau pun ‘mind setting’ sangat penting untuk membina jati diri seseorang. Pemikiran positif adalah salah satu punca kejayaan. Mereka yang sentiasa berfikiran negatif dikatakan sukar untuk berjaya kerana sering memikirkan perkara yang tidak tentu lagi berlaku dan tidak mahu mencuba langsung supaya tiada masalah yang akan timbul. Akan tetapi sedarkah mereka tanpa mencuba sesuatu perkara itu adalah mustahil untuk dilaksanakan. Cubaan yang membawa malang adalah lebih baik daripada keinginan yang tiada percubaan.
Kejayaan adalah satu ungkapan yang subjektif sebenarnya. Pada setiap peringkat umur, pasti pelbagai jenis kejayaan yang ingin dicapai. Contohnya, jika calon SPM pasti kejayaan untuk mendapatkan keputusan cemerlang di dalam SPM. Manakala bagi pekerja bergaji pula sudah pasti untuk mencapai kualiti kerja yang lebih baik.
Semua kejayaan perlukan dorongan. Sama ada daripada diri sendiri atau pengaruh lain. Namun demikian, pengaruh diri sendiri adalah tonggak utama kejayaan. Ini yang disebut MOTIVASI atau kemahuan dan keinginan untuk memperoleh sesuatu sehingga sanggup berkorban untuk mencapai impian. Akan tetapi tujuan yang ingin dicapai mestilah berniat baik.
Kisah sebenar tajuk motivasi ini adalah untuk mendekati peranan guru sebagai pendorong kepada pelajar dan bertindak untuk memotivasikan murid mereka sendiri. Motivasi bukan hanya dengan memberitahu murid yang dia mesti mempunyai motivasi, sebaliknya menerapkan di dalam iklim bilik darjah melalui persekitaran fizikal dan psiko-sosial.
Guru yang berjaya ialah mereka yang mampu mendorong pelajar untuk belajar dan menyedari kepentingan potensi masing-masing. Tidak hanya memotivasikan pelajar yang dilihat mampu memperoleh banyak ‘A’ di dalam peperiksaan! (PERNYATAAN INI SEBAGAI PERINGATAN KEPADA GURU) . Janganlah kita memandang rendah kepada murid sendiri. Sikap pilih kasih dan tidak adil guru ini menyebabkan ramai murid yang terus ketinggalan dan semakin melunturkan motivasi dalam diri mereka. Sebagai guru,adalah tugas kita untuk memberi perhatian dan memotivasikan semua murid.
Kemahiran ikhtisas guru bertujuan memupuk semangat keguruan dan pelbagai nilai profesionalisme untuk gelaran pendidik. Amanah yang dipikul sangat berat iaitu pencorak minda generasi hadapan. Kesilapan didikan menyebabkan kesan di hari yang mendatang. Maka berfikirlah semua guru,supaya bersedia melakukan tugas pendidik dengan sebaiknya dan sentiasa bermotivasi untuk melakukan yang terbaik demi amanah dan tanggungjawab yang dipikul.M O T I V A S I.
